MANJUNG: Kenyataan Nga Kor Ming bahawa dia akan berundur dari arena politik jika pembangkang gagal pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak, hanyalah satu lagi sentimen yang dikitar semula untuk meraih simpati rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang mempertikaikan kenyataan Pengerusi DAP Perak itu, berkata ia adalah sentimen biasa yang sering digunakan oleh ahli politik pembangkang apabila musim PRU menjelang.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan kenyataan itu dan berharap Nga akan menunaikan janji tersebut sekiranya parti pembangkang tidak dapat membentuk kerajaan.

“Dari segi apa yang mereka luahkan berkali-kali setiap PRU diadakan, macam-macam termasuk ‘Ini kalilah’ …dah berapa banyak kali ‘Ini kalilah’.

“Ini adalah cakap-cakap daripada mereka yang seringkali suka bermain sentimen sebegini bagi memancing undi rakyat dengan harapan rakyat mudah terpengaruh,” katanya selepas melawat Sekolat Agama Rakyat An-Najah di Taman Samudera di sini, hari ini.

Kor Ming dalam satu artikel yang dipetik dari China Press menyatakan hasratnya untuk mengundurkan diri dari arena politik sekiranya pakatan pembangkang gagal mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan BN dan menganggap PRU akan datang adalah waktu terbaik untuk menukar kerajaan baharu.