IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli meraikan lebih 1,200 anak Pangkor dalam majlis makan malam dan sembang santai kediaman rasmi Menteri Besar pada Ahad malam.

Majlis anjuran Alumni Sekolah Kebangsaan Pangkor itu bermula dengan solat Maghrib berjemaah dan berakhir kira-kira jam 10.30 malam.

Dr Zambry di dalam ucapannya mengimbau kembali keadaan sekolah yang telah melahirkan ramai anak Pangkor yang berjaya sebagai guru, doktor, akauntan, pegawai kerajaan dan usahawan.

Malah, kata beliau, terdapat juga anak Pangkor yang telah mewakili negeri dan negara dalam sukan ragbi yang menjadi juara Kejohanan Ragbi Asia Division 1 baru-baru ini, bolasepak dan olahraga.

“Dulu kita tidak pernah termimpi untuk menjadi seperti sekarang kerana ketika itu Pangkor dhaif dan tiada apa,” kata Dr Zambry.

Beliau berkata, anak pulau nelayan itu sejak dari dulu hidup umpama sebuah keluarga besar yang masih mengamalkan semangat gotong royong, terutama di dalam majlis kenduri kendara.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan anak-anak muda Pangkor supaya terus mengekalkan semangat itu sampai bila-bila.

“Walaupun pulau banyak berubah, tetapi janganlah hebdaknya hubungan kita juga berubah, sekiranya ada perselisihan, cepat-cepat perbetulkan,” ujarnya.