BUKIT GANTANG: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah menyampaikan sumbangan zakat Yayasan Al-Fasal untuk tahun 2017 bernilai RM300,000 bagi golongan asnaf sekitar DUN Trong.

Sumbangan zakat itu telah diagihkan kepada 1,000 golongan asnaf di DUN berkenaan pada Khamis sambil disaksikan oleh Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal.

Dr. Zambry berkata zakat sumbangan yayasan yang diasaskan oleh Syed Abu Hussin itu diharap akan meringankan beban golongan asnaf menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya amat seronok setiap kali melihat individu-individu yang berjaya dalam apa jua bidang khususnya perniagaan berkongsi rezeki yang dikurniakan oleh Allah S.W.T bersama golongan memerlukan.

“Tidak ramai yang sanggup berbuat begini kerana terlalu sayangkan wang mereka namun apa yang perlu kita ingat ialah setiap kali kita memberi, berkongsi lebih banyak ganjaran yang Allah S.W.T akan pulangkan,” katanya ketika berucap dalam majlis itu di pekarangan Masjid As-Sharif, Kg. Padang Gajah, Trong.

Beliau turut mengumumkan kerajaan telah bersetuju untuk memberi peruntukan bagi menaik taraf masjid berkenaan yang dibina sejak tahun 1966.

Sementara itu Syed Abu Hussin berkata yayasannya telah memperuntukan sejumlah RM700,000 sumbangan zakat yang akan diagihkan kepada lebih 3,000 golongan asnaf dan anak yatim sekitar parlimen Bukit Gantang bagi Ramadan kali ini.

“Setengah telah pun kita beri dan setengah lagi akan kita beri sebelum menjelang Aidilfitri nanti, kita buat ini bagi meringankan beban mereka dan bantu golongan tak berkemampuan membuat persiapan untuk raya.

“Selain sumbangan zakat dalam bentuk wang ringgit, Yayasan kami juga mengedarkan bubur lambuk setiap hari sepanjang Ramadan dan memberi sekotak kurma untuk setiap rumah,” ujarnya.