SLIM RIVER: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersarapan bersama penduduk Kg Kuala Slim pada Rabu, sempena program permukiman di daerah Muallim.

Beliau yang tiba kira-kira jam 8.15 pagi diiringi beberapa Exco kerajaan negeri, Datuk Saarani Mohamad, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Datuk Rusnah Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Pegawai Daerah Muallim, Norsham Rahman.

Dr Zambry meluangkan kira-kira 45 minit untuk beramah mesra dan bertanya khabar penduduk setempat.

Selepas itu, beliau ke majlis hari penilaian anugerah desa perdana peringkat kebangsaan tahun 2017 di pekarangan dewan orang ramai kampung tersebut.

Kg Kuala Slim yang menjadi Kampung Mentor 2016 mewakili Perak dalam pertandingan Anugerah Desa Perdana Peringkat Kebangsaan 2017.

Dr Zambry di dalam ucapannya memuji penduduk Kg Kuala Slim sangat unik bukan sahaja kerana hidup dalam suasana aman dan bersatu, walaupun mempunyai pelbagai kaum, Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

“Kampung ini sangat unik kerana ada lagu dan logo di samping menerima beberapa pengiktirafan sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

af805e3e-79f3-45db-a478-48eccb91c384Sementara itu, pencipta lagu Kg Kuala Slim, Yuslizam Yunos, 35, berkata, beliau mencipta lagu itu pada tahun 2015 yang mengambarkan identiti dan aktiviti kampung tersebut.

“Asalnya ia hanya untuk program muzikal sempena bulan budaya anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi selepas berbincang dengan JKKK, kita jadikan lagu kampung,” kata anak jati Kg Kuala Slim yang kini bertugas sebagai juruteknik di Johor Bharu.

Menurut Yuslizam, beliau mendapat maklumat mengenai kampung melalui orang tua-tua kampung untuk dijadikan lirik yang sesuai, dengan perubahan daripada daerah Tanjung Malim kepada Muallim ketika bulan puasa lalu.