IPOH – Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersedia untuk bersemuka dengan 250 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) ranting Pangkor dan Pasir Bogak yang bertindak keluar parti selepas merasakan kebajikan mereka tidak diberi perhatian oleh pucuk pimpinan kawasan.

Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Perak itu berkata, beliau selaku pemimpin negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk berjumpa dengan mana-mana pihak sekali pun.

“Saya agak terkejut dengan langkah yang dibuat mereka dan apa yang mereka lakukan itu saya percaya datangnya daripada kesedaran mereka sendiri.

“Tentang apa yang berlaku dalam parti mereka dan juga apa yang dilakukan oleh wakil rakyat mereka (Ahli Parlimen Lumut),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan keluar parti tersebut dan permohonan untuk bertemu dengan Menteri Besar bagi menyatakan sokongan mereka kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana nak berikan sokongan kepada BN nanti,” tambah Dr Zambry yang juga merupkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor terhadap sokongan bakal diberikan oleh kesemua individu terbabit.

Terdahulu, 250 ahli PKR diketuai bekas Ketua Ranting PKR Pangkor, V. Subramaniam dan bekas Ketua Ranting PKR Pasir Bogak, Shawal Hamid Pitchai Nagoor Samsu mengumumkan keluar parti dalam satu sidang media khas di Pulau Pangkor pada Rabu.

Mereka mendakwa sudah muak dengan sikap kepimpinan dan wakil rakyat mereka yang langsung tidak mengambil berat terhadap masyarakat kaum India di kawasan.

Kesemua mereka juga sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan satu Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang akan berfungsi sebagai satu platform untuk membantu BN pada PRU14 nanti.

“Kami sudah tidak tahan lagi, langsung tidak turun padang bantu kaum India, Cina dan Melayu sebagai seorang ahli parlimen, kami kecewa.

“Kami dah tersilap banyak sebab menyokong dia ((B)Laksamana Pertama Muhammad Imran Abdul Hamid) dulu, pada pilihan raya kali ini kami nak sokong BN, tidak kira siapa pun yang akan bertanding nanti,” katanya Subramaniam dalam sidang media berkenaan.