IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerima kunjungan hormat Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang baharu, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran di pejabatnya di sini hari ini.

Dr Mohammad Shatar, 50, adalah anak kelahiran Perak yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bota Kiri dan Sekolah Menengah Dato’ Abdul Rahman Yaacub, Bota Kanan, sebelum melanjutkan pengajian di peringkat diploma di dalam bidang General Studies daripada University of Bloomington, Amerika Syarikat.

Beliau kemudiannya mendapat Ijazah Sarjana dan Master daripada Iowa State University dan Ijazah Kedoktoran daripada University of Missouri, Columbia di negara yang sama.

Sebelum berkhidmat sebagai Naib Canselor UPSI, Dr Mohammad Shatar adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) di Universiti Putra Malaysia.

Selain menjalankan tugas sebagai Naib Canselor, beliau juga merupakan seorang penceramah motivasi, terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan pembelajaran dan kecemerlangan, kepimpinan, keibubapaan dan masalah sosial.

Selain Dr Mohammad Shatar, Dr Zambry turut menerima kunjungan hormat Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang di pejabat beliau.