MUALLIM: Setelah berjaya menyempurnakan 12 program permukiman, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meneruskan aktiviti turun padang merentasi negeri untuk bersama masyarakat bandar dan desa di bawah Program Jelajah Menteri Besar (PJMB) 2018.

Program yang telah bermula sejak minggu lalu dengan hentian pertamanya Parlimen Parit, diikuti Padang Rengas, Teluk Intan dan yang terbaru hari ini di Tanjung Malim.

PJMB merupakan kesinambungan daripada program permukiman yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu sebagai penambahbaikan  program bertemu rakyat Klinik Dr Zambry.

Klinik Dr Zambry telah diperkenalkan sejak beliau menjadi Menteri Besar pada 2009.

Dr Zambry berkata, PJMB antara lain bertujuan untuk membuat tinjauan lanjutan projek-projek yang telah diputuskan semasa program permukiman.

 “Saya juga mendapat maklum balas berkaitan dengan pembangunan dan perkara-perkara yang belum diselesaikan lagi dan juga saya membuat tinjauan lanjutan terhadap perkara-perkara yang telah kita usahakan atau kita janjikan tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Pejabat Tanah dan Daerah Muallim di sini, pada Rabu.

 Dr Zambry berkata, dalam program itu, beliau turut mendengar taklimat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil rakyat setempat.

 Menurut beliau, pihaknya telah mengenalpasti beberapa perkara yang perlu disegerakan dan telah mengambil mengambil tindakan untuk mengerakan pelaksanaannya.

Beliau memberitahu, antara isu yang dibangkitkan ialah kes-kes kecurian harta benda awam seperti lampu jalan dan kabel telekomunikasi.

 Sambil menyatakan rasa kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu, beliau meminta orang ramai supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa jika mempunyai maklumat mengenainya.

 Selain itu, kata Dr Zambry, isu ladang ternakan ayam haram juga turut ditekankan kerana ia telah menimbulkan kesulitan kepada rakyat.

 Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pengusaha ladang tersebut, termasuk merobohkannya, walaupun mereka mendakwa akan mengalami kerugian jutaan ringgit.

 Dalam masa sama, beliau meminta agensi persekutuan supaya memantapkan kerjasama dengan kerajaan negeri agar tidak wujud konflik mengenai dasar atau polisi yang telah diputuskan.