Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yakin atlet Perak mampu menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang akan diadakan di negeri ini.

Dr Zambry berkata, beliau yakin atlet Perak akan berjaya mengembalikan kegemilangan mencatat pelbagai rekod kebangsaan dan antarabangsa seperti yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berpendapat adalah sesuatu yang malang dan memalukan sekiranya Perak masih mengulangi prestasi buruk yang berlaku di Sarawak ketika SUKMA 2016.

Zambry-SUKMA 7

“Saya sendiri berada di situ dan menyaksikan kesemuanya, malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan saya bahawa beliau tidak lagi ingin melihat Perak berada di bawah, jauh dari tangga kejayaan.

“Tapi saya tidak dapat menjanjikan kesemua ini, ini adalah usaha atlet, jurulatih dan kesemua yang terlibat dalam SUKMA kali ini,” katanya ketika berucap merasmikan Program Podium Perak dan Majlis Kita Juara 2018 anjuran Majlis Sukan Negeri Perak di Amanjaya Convention Centre (AJCC) di Hotel Casuarina@Meru pada petang Isnin.

Majlis berkenaan turut memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada beberapa rakan strategic, termasuk Lembaga Air Perak, MB Inc, Persatuan Penternakan Perak, Restoran Nasi Vanggeh dan TNB Jana Manjung yang akan menjadi penyumbang kepada setiap kategori sukan untuk SUKMA 2018.

Walaupun cukup yakin dengan kebolehan atlet Perak, Dr Zambry berkata, semuanya itu bergantung kepada dedikasi, disiplin dan semangat ketekunan daripada setiap pihak yang terlibat.

Lebih 200 atlet, jurulatih dan rakan strategik yang mempersiapkan diri menuju ke SUKMA 2018 di mana Perak akan menjadi tuan rumah diraikan dalam majlis tersebut sebagai pendorong dan pencetus semangat mereka.

Dalam majlis berkenaan, beberapa bekas atlet yang pernah menempa nama di peringkat Olimpik termasuk bersaudara penerjun antarabangsa Alan dan Cindy Ong, bekas pemain bowling nombor satu dunia, Safuan Said dan banyak lagi turut hadir memberikan sokongan.