SEREMBAN: Dua ahli Geng Mamak yang ditembak mati di Jalan Chengkau-Pilin, Rembau awal pagi, semalam, terbabit dalam sekurang-kurangnya 45 kes samun membabitkan pelanggan bank.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, siasatan mendapati dua lelaki berusia 33 dan 35 tahun terbabit aktif melakukan kegiatan itu di negeri ini, Selangor dan Kuala Lumpur sejak 2015.

Katanya, mereka yang merupakan saki-baki ahli Geng Mamak menggunakan modus operandi menyamar sebagai anggota polis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ketika melakukan samun terhadap mangsa.

“Mereka biasanya menyasarkan pelanggan yang mengeluarkan banyak wang tunai di bank. Suspek akan mengekori kereta mangsa dan memintasnya sebelum memerkenalkan diri kononnya sebagai anggota penguat kuasa.

“Suspek juga pernah memecahkan cermin kereta dinaiki mangsa sebelum merampas dan melarikan wang tunai mereka. Jumlah kerugian ditanggung semua mangsa dianggarkan melebihi RM1 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari in.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hasan.

Katanya, dalam kejadian 12.30 tengah malam kelmarin, dua suspek itu bersama dua rakan mereka yang masih bebas, menaiki sebuah kereta Honda Accord dikesan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Seremban-Tampin, di sini.

Menurutnya, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman terserempak dengan kenderaan itu lalu mengarahkan mereka berhenti namun pemandunya memecut untuk melarikan diri.

“Anggota polis mengejar sejauh empat kilometer sebelum kereta suspek terbabas dan melanggar papan tanda jalan. Dua suspek sempat melarikan diri manakala dua lagi melepaskan beberapa das tembakan terhadap polis.

“Polis terpaksa membalas tembakan untuk mempertahankan diri menyebabkan kedua-dua suspek mati di tempat kejadian. Gerakan memburu dua lagi suspek yang masih bebas sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, polis merampas dua pucuk pistol, dua bilah parang, sebilah kapak, lima butir peluru, dua alat pembesar suara, sebuah lampu, topi dan ves polis.

“Polis juga menemui lencana JKDM dan gari serta dua passport Malaysia yang hilang bersabit kes samun di Seri Kembangan, Selangor pada 5 Februari lalu,” katanya memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh – berita harian