KUALA KANGSAR: Dua ahli sukan dan dua bekas atlet kebangsaan menerima anugerah Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) pada Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak kali kedua sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Tahun 2017 di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Dua ahli sukan itu ialah pemenang pingat emas dan pemegang rekod baharu acara lompat kijang Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini, Muhammad Hakimi Ismail dan pemain bola sepak, Mohamad Nasir Basharudin.

Manakala dua belas atlet berkenaan ialah pelari 400 dan 800 meter negara yang pernah bertanding di Sukan Olimpik Seoul 1988, Josephine Mary dan pemenang pingat emas rejam lembing Sukan SEAP 1961 di Myanmar, Ng Kah Liew.

Mereka adalah antara 299 penerima pingat dan darjah kebesaran yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak,
Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya binti Tunku Abdul Halim Muadzam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan Exco kerajaan negeri Perak.

Seramai empat orang menerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 28 menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 10 menerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 65 menerima
AMP, 92 menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 96 menerima Pingat Jaksa Kebaktian (PJK) dan empat Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Antara penerima PPT ialah jurulatih perahu layar, Mohd Nazri Seman yang juga bapa kepada dua pelayar kebangsaan, Nor Adriana Adlyna dan Nor Nabila Natasha.

Antara yang menerima PJK pegawai keselamatan Menteri Besar, Sarjan Badrul Izwan Mohd Noor.

Sementara itu, Josephine Mary ketika ditemui berkata, anugerah itu didedikasikan kepada kedua ibu bapanya yang telah banyak memberi galakan dan semangat kepadanya sehingga dicalonkan sebagai Olahragawati Kebangsaan empat tahun berturut-turut sejak 1988.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak kerana turut memainkan peranan terhadap penganugerahan itu.