Oleh:Nazialita Geynna Maharan


LUMUT:
Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan dipercayai setelah mengikuti latihan fizikal pada petang semalam (Jumaat).

Dalam kenyataan media TLDM, hari ini, dua anggota yang terlibat dalam kejadian sekitar 3.15 petang itu adalah Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26.

Berdasarkan kenyataan itu, kedua-dua mereka difahamkan menjalani kesemua latihan fizikal mengikut prosedur yang ditetapkan.

Jurucakap TLDM dalam kenyataan berkata, kedua-dua anggota itu mengadu kepenatan sewaktu dalam sesi sebelum direhatkan dan seterusnya dimasukkan semula ke dalam bilik tahanan.

“Kedua-dua anggota itu kemudiannya muntah dan sesak nafas. Mereka kemudian diberikan rawatan awal oleh petugas pusat tahanan.

“Bagaimanapun, disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik pada 3. 15 petang, ” kata kenyataan media itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal doktor ke atas kedua-dua anggota itu tidak menemui sebarang kesan penderaan fizikal.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan sebab sebenar kematian itu.

“Punca sebenar kematian masih dalam siasatan polis. TLDM akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan.

“Selain itu, TLDM juga menubuhkan Lembaga Siasatan untuk meneliti prosedur kerja yang sedia ada, ” katanya.