IPOH: Perak akan menampilkan kelainan dengan melantik dua bekas tokoh sukan olimpik sebagai ‘Chef de Mission’. (CDM) bagi kontinjen Perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Dua tokoh sukan itu, bekas atlet olaraga lompat tinggi Loo Kum Zeen dan pelari pecut wanita negara, Josephine Mary dilantik kerana kedua-duanya adalah anak jati negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perlantikan itu adalah bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan besar kedua-dua tokoh yang pernah mengharumkan nama negara dalam arena sukan.

Menurutnya keputusan melantik kedua bekas atlit antarabangsa itu merupakan satu kelainan kerana tugas sebagai CDM lazimnya dipikul oleh pihak atasan.

“Kami telah menyatakan perkara ini dan diterima baik oleh mereka, malah kedua-duanya bersetuju dan menganggap lantikan itu adalah satu pengiktirafan kepada mereka untuk melaksanakan sesuatu yang baik, memberi semula kepada negeri Perak,”katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini,hari ini.

Dalam pada itu, Kum Zee berkata beliau tidak pernah mengabaikan jauh sekali melupakan tanah kelahirannya sepanjang karier beliau walaupun banyak menghabiskan masa berlatih di Kuala Lumpur.

“Sebaik sahaja saya menamatkan karier saya, saya terus kembali ke Perak dan amanah untuk mengetuai SUKMA kali ini, merupakan peluang untuk saya berkhidmat semula kepada tempat lahir saya,”ujarnya.

Sementara itu, Josephine Mary berkata pemberian tugas itu merupakan satu penghormatan tidak ternilai daripada kerajaan negeri Perak kepada mereka.

“Sebagai bekas atlit,kami berasa bangga untuk menggalas tanggunggjawab ini dan kami akan memberikan yang terbaik serta komitmen kami untuk negeri Perak.

“Sepanjang karier kami dan Kum Zee, negeri Perak sentiasa menyokong kami dan tidak pernah melupakan kami sehingga hari ini,”katanya kepada pemberita dalam sidang media tersebut.

Dr Zambry juga sebelum itu memberi keyakinan bahawa kesemua persiapan SUKMA sedang dilaksanakan mengikut tempoh perancangan yang telah ditetapkan.

Katanya, buat masa ini pihak pengurusan menjangkakan bahawa proses baikpulih beberapa stadium di Perak seperti Stadium Indera Mulia, Stadium Manjung dan beberapa lagi stadium dijangka siap sebelum SUKMA pada April.

“Kita sedang melakukan kesemua pembinaan dan baikpulih tersebut secara berperingkat dan kita sentiasa memastikan perkembangannya, memantau dan bukannya kita dua tiga minggu baru nak siapkan,”ujarnya.