Ipoh: Dua bekas pegawai kanan Jabatan Imigresen Perak didakwa di Mahkamah Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini dengan masing-masing atas dua pertuduhan cuba menerima suapan.

Mereka ialah bekas Pengarah Imigresen Perak, Zulhairin Yahya, 45, dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak, Zaidi Dali, 49.

Zulhairin menghadapi tuduhan pertama secara rasuah cuba untuk memperolehi satu suapan untuk dirinya dan Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Perak iaitu wang tunai berjumlah RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek sebagai satu dorongan bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan di jalankan ke atas sebuah premis perniagaan pusat hiburan, The Bos KTV di nombor 92-96, Tingkat Satu Persiaran PM, Pusat Bandar Seri Manjung.

Zulhairin dituduh melakukan perbuatan itu di Club House Meru Velley Golf Country Club Ipoh pada 5 November 2015 jam 9.00 malam.

Dia menghadapi tuduhan kedua secara rasuah cuba untuk memperolehi satu suapan untuk dirinya dan Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Perak iaitu wang tunai berjumlah RM7,000 daripada Nga Chee Jiek sebagai satu dorongan bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas premis yang sama.

Dia melakukan perbuatan itu di Club House Meru Valley Golf Countru Club Ipoh pada 11 November 2015 jam 9.55 malam.

Zaidi pula dituduh cuba untuk memperolehi suapan untuk dirinya dan Pengarah Jabatan Imigresen Perak iaitu wang tunai berjumlah RM10,000 setiap bulan daripada Ng Chee Jiek sebagai satu dorongan bagi memastikan tiada pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah premis perniagaan pusat hiburan The Bos KTV di nombor 92-96, Tingkat satu Persiaran Pm, Pusat Bandar Seri Manjung.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Club House Meru Valley Golf Country  Club Ipoh pada 5 November 2015 jam 9.00 malam.

Zaidi menghadapi tuduhan kedua cuba memperolehi suapan untuk dirinya dan Pengarah Jabatan Imigresen Perak iaitu wang tunai berjumlah RM7,000 daripada Nga Chee Jiek sebagai dorongan bagi memastikan tiada pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah premis perniagaan psuat hiburan Te Bos KTV di nombor 92-96 Tingkat satu Persiaran  PM, Pusat Bandar Seri Manjung.

Dia melakukan perbuatan itu juga di Club House Meru Valley Golf Country Club Ipoh 11 November 2015 jam 9.55 malam.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan.

Hakim S. Indra Nehru membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin, masing-masing RM15,000 bagi setiap tuduhan dengan dua orang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada  5 Mei ini.

Hakim juga memerintahkan passport mereka diserahkan kepada mahkamah dan memerintahkan supaya melaporkan diri sekali pada setiap bulan kepada pejabat SPRM yang berdekatan.