IPOH: Impian dua beradik untuk diijabkabulkan serentak dengan pasangan masing-masing akhirnya terlaksana apabila mereka disatukan dalam Majlis Nikah Jama’ie Syar’ie pada Ahad.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu diadakan di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini.

Nur Shafika Adira Mohd Ramli, 24, dan adiknya, Muhamad Aris Danial Mohd Ramli,21, memilih tarikh 16 September sebagai tarikh perkahwinan yang kebetulan jatuh pada sambutan Hari Malaysia.

Menurut Nur Shafika Adira, dia dan pasangan, Mohamed Amirul Akram Mohamed Ali, sepakat untuk menyertai majlis nikah beramai-ramai memandangkan ia mudah serta menjimatkan kos.

“Saya dan adik sama-sama sertai majlis nikah hari ini dengan pasangan masing-masing, kerana kita tahu ia menjimatkan kos, masa, tenaga dan tidak perlu berbelanja beribu-ribu ringgit kerana terikut-ikut dengan adat.

“Lagipun pihak JAIPk sudah aturkan persiapan untuk kami, seperti jamuan makan di sini (masjid), yang penting kita ikut sunnah dan buat apa yang perlu sahaja untuk bernikah,” kata Nur Shafika.

Sementara itu, Muhamad Aris Danial dan pasangannya, Nor Ain Alia Najiha Fauzi berpendapat, program seumpama ini seharusnya diperluaskan untuk meringankan beban pasangan yang mahu berumah tangga.

“Saya tanya pada isteri dan bertemu keluarganya untuk berbincang mengenai majlis nikah sebegini, apabila semua pihak setuju, kita buat perancangan dengan kakak saya serta kumpul duit.

“Ia melibatkan kos tidak lebih dari RM 3,000, bagi saya ianya berbaloi, kita hanya sediakan mas kahwin dan semuanya sudah diaturkan oleh pihak terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pasangan pengantin, Muhammad Khidir Daud, yang juga Bilal Masjid Sultan Azlan Shah menzahirkan penghargaan dan terima kasih di atas pengajuran program seumpama itu.

“Dari segi kos dan kemudahan yang disediakan bertepatan dengan syariah, ia juga mengikut sunnah yang dianjurkan, dari permulaan majlis hingga ke akhirnya, ramai pengantin diraikan hari ini,” katanya.

Seorang lagi pengantin yang juga mualaf, Aisyah Low Mee Hong dari Sungai Siput berkata, dia mendapat tahu berkenaan program itu yang disiarkan dalam laman Facebook.

“Saya kenal dengan suami sudah hampir tiga tahun, bagi saya majlis nikah ini bagus dan membantu pasangan seperti kami yang diraikan hari ini, suasana pun meriah,” ujarnya.

Seramai 30 pasangan pengantin dinikahkan dalam majlis tersebut, yang dirasmikan Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu.

Majlis itu diperkenalkan pada tahun 2013 di negeri Perak, yang meletakkan tarikh 16 September iaitu Hari Malaysia sebagai tarikh keramat menyatukan suami isteri secara sah.

Sepanjang tempoh itu, hampir 200 pasangan pengantin telah diijabkabulkan serta diraikan dengan mengikut panduan syarak.