IPOH: Dua beradik direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ipoh pada Sabtu selepas disyaki membunuh bapa mereka sendiri.

Kedua-dua beradik yang berumur 20 dan 21 tahun itu direman sehingga Jumaat depan selepas kematian bapa mereka, R. Pardeep Kumar, 56, ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, pagi Jumaat.

Mangsa dikejarkan ke hospital itu pada 7 malam Khamis selepas didapati pengsan di rumahnya di Taman Bercham Sinar.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat, doktor yang merawat mangsa mengatakan terdapat kecederaan kesan hentakan di kepala mangsa.

Seorang daripada anak mangsa kemudiannya membuat laporan polis kerana mengesyaki bapanya telah dipukul oleh dua adik lelakinya .

Berdasarkan temubual dengan lelaki berusia 34 tahun itu, mangsa pernah mengadu suspek selalu memukul dan mencuri wang simpanannya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.