KUALA TERENGGANU: Dua beradik ditemui lemas dengan keadaan kaki bersilang di dalam tali air di Kampung Gong Baru di sini, hari ini.

Mangsa, Muhammad Harries Daniel Fauzi, 11, dan abangnya, Muhammad Azreil Haikal, 13, ditemui orang kampung pada jam 7 pagi.

Mereka yang juga anak kedua dan ketiga daripada lima beradik, dikatakan keluar rumah sejak petang semalam.

Difahamkan, ahli keluarga dan penduduk kampung mula mencari mangsa bermula jam 10 malam tadi selepas datuk mereka memaklumkan dua beradik itu tidak pulang ke rumah.

Ibu saudara mangsa, Nor Juraidah Mahmud, 35, berkata beliau mengetahui insiden itu pada jam 9 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Memang terkejut melihat keadaan mereka. Mereka tidak pernah sampai ke kawasan ini, apatah lagi mandi di tali air itu,” katanya.

Difahamkan, jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Tok Nasek di sini, hari ini – berita harian