JERANTUT: Sepasang suami isteri maut, manakala dua anak mereka cedera apabila motosikal ditunggang empat beranak itu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Jerantut-Temerloh dekat sini, kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin, Hazmi Mat, 59, maut di tempat kejadian, manakala isterinya, Rohani Abdul Latif, 42, meninggal dunia di Hospital Jerantut, jam 1 pagi tadi.

Anak pasangan itu yang menjadi yatim piatu sekelip mata, Alisha Hazmi, 6, cedera di dahi, manakala abangnya, Mohd Haziq Danial, 8, patah kaki kanan dan dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, berkata empat beranak itu yang menunggang motosikal Modenas Kriss, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Paya Embun ketika kejadian.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Satria dikatakan dalam perjalanan dari Temerloh ke Jerantut.

“Pemandu kereta Proton Satria itu dikatakan tidak nampak kedudukan motosikal terbabit di hadapannya dan terus terlanggar mangsa empat beranak.

“Mangsa terjatuh di sebelah kiri jalan (menghala ke Jerantut). Penunggang (Hazmi) dan isterinya maut akibat cedera parah, termasuk pendarahan dalam kepala,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mazlan berkata, pemandu kereta berusia 26 tahun terbabit ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 – berita harian