SERI ISKANDAR: Niat dua beradik dipercayai keluar menjala ikan berakhir dengan tragedi apabila keduanya maut lemas di Kampung Changkat Lada, dekat sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Penolong Penguasa Bomba Zaiful Affendi Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Dalam kejadian itu, mayat mangsa, Lokman Abd Samad,20, ditemui sekitar 4.52 petang manakala usaha mencari mayat adiknya, Mohd Raihan,6, masih lagi diteruskan buat masa ini.

Katanya, maklumat awal daripada waris keluarga mendapati kedua beradik itu dipercayai pergi menjala ikan sebelum mengambil keputusan untuk membersihkan diri di tali air berhampiran.

“Berdasarkan maklumat awal orang awam, terdapat dua lelaki telah lemas di tali air Seberang Perak ketika mandi di kawasan berkenaan.

“Justeru, operasi pencarian telah dilakukan dengan kaedah pencarian di permukaan air menggunakan bot di kawasan sekitar mangsa dipercayai lemas.

“Mangsa pertama iaitu abang,Lokman,20 telah ditemui dan kami sedang berusaha mencari adiknya itu Mohd Raihan yang berusia enam tahun ,”katanya kepada Astro Awani ketika dihubungi pada petang Ahad.

Jelasnya, seramai 17 anggota dari pelbagai agensi terlibat dalam operasi pencarian dan cuaca dilaporkan cerah bagi tindakan bersepadu berkenaan.