BATU KURAU – Dua beradik dari Kampung Batu 14, di sini menjadi pengundi tertua bagi Parlimen Larut untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Batu Kurau yang keluar membuang undi sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hari ini.

Walaupun menghadapi sedikit kekangan untuk bergerak dan pendengaran yang terhad lantaran faktor usia Sabariah Nawi, 93, dan adik beliau, Ahmad Nawi, 88, tiba di perkarangan pusat mengundi di Madrasah Sekolah Ugama Rakyat Batu 14, Batu Kurau seawal jam 9.30 pagi.

Ahmad Nawi, bagaimanapun masih sihat dan kuat serta mempunyai deria yang cukup baik malah tidak menggunakan cermin mata untuk melihat.

Mereka kemudiannya disertai oleh calon DUN N07 Batu Kurau Datuk Dr Amin Zakaria yang mengambil peluang menyantuni mereka, tambahan pula Ahmad merupakan salah seorang ustaz beliau semasa kecil.

Datuk Dr Amin kemudiannya membantu menyorong Sabariah dengan kerusi roda ke pusat mengudi dengan dibantu oleh dua orang petugas Pemandu Arah Pusat Mengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum membawa Ahmad dan kakaknya ke Sekolah Kebangsaan Toh Sajak, Batu Kurau, kira-kira satu kilometer dari Sekolah Ugama Rakyat itu dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Ahmad berkata beliau mula mengundi pada kali pertama pada tahun 1955 pada PRU yang pertama ketika usianya 25 tahun.

“Ketika itu saya baru menyertai British Army di Singapura kira-kira lima tahun, jadi saya pulang ke Batu Kurau untuk mengundi.

“Kemudian, saya dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk tempoh lima tahun sebelum saya mengambil keputusan untuk berhenti (bersara awal) selepas 10 tahun berkhidmat,” ujar beliau ketika ditemui Suara Perak.

Ahmad kemudiannya bekerja sebagai tenaga pengajar di Madrasah Sekolah Ugama Rakyat Batu 14, Batu Kurau selama lebih 50 tahun sebelum bersara pada tahun 2013.

Mensyukuri peluang dipanjangkan umur, beliau dan kakaknya tidak pernah gagal untuk mengundi dan tahun ini merupakan kali ke-14 beliau berjaya menunaikan tanggungjawab kepada negara.

Bapa kepada 10 orang anak itu berkata ke semua anaknya pulang untuk mengundi di sini walaupun telah bekerja di luar Perak.

“Saya berharap agar Barisan Nasional menang dan dapat bentuk kerajaan. Saya bimbang juga takut-takut negeri Perak akan ‘tergelincir’, ujar beliau merujuk kepada PRU-13 di mana Perak jatuh sementara ke tangan pembangkang.

Sementara itu, Datuk Dr Amin menganggap Ahmad sebagai pengundi istimewa kerana beliau banyak membantu mebangunkan masyarkat setempat termasuk mengajar di sekolah agama rakyat, menjadi imam dan menguruskan jenazah.

“Pada saya, mereka adalah insan istimewa kerana bagi saya mereka merupakan golongan warga emas yang masih komited untuk memberi sumbangan kepada negara melalui mengundi kerana ingin mengambil bahagian bersama-sama dalam sistem demokrasi,” ujar beliau yang turut memuji inisiatif kedua-dua pusat mengundi untuk menyediakan kerusi roda serta para petugas SPR yang ringan tangan untuk membantu menyorong pengundi masuk ke pusat mengundi.

Dr Amin juga berharap agar pengundi seperti Ahmad dan Sabariah menjadi dorongan serta rangsangan kepada generasi muda peri pentingnya untuk turut turun sama mengundi kerana ia adalah sebahagian daripada demokrasi dalam membentuk sistem pemerintahan di negara kita.

BERITA BERKENAANKemeriahan PRU-14 Umpama Aidilfitri

1/5