IPOH: Pasangan suami isteri cemas apabila dua anak mereka terperangkap dalam kenderaan pacuan empat roda mereka di hadapan sebuah restoran di Jalan Chemor dekat, tengah malam tadi.

Kanak-kanak berkenaan, Putri Nur Shahinda, 6, dan abangnya, Mohd Shahmim Shah Azlan, 8, tertidur ketika kenderaan bapanya terkunci secara automatik dari dalam.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati kedua-dua beradik itu masih tidur dalam kenderaan berkenaan.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membuka semula pintu kenderaan itu dengan menggunakan dawai,” katanya.

Keluarga berkenaan singgah makan di restoran berkenaan sebelum si bapa meletakkan kedua-dua anaknya yang tertidur ke dalam kenderaan.

“Selepas menghidupkan enjin, bapa mangsa kemudian membuat pembayaran di restoran, tetapi apabila kembali semula ke kenderaan, dia tidak dapat membuka pintu kerana terkunci,” katanya.

Beliau berkata, operasi tamat pada 1.13 pagi.