CHUKAI: Dua beradik serta seorang wanita berusia 59 tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 304, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat susur keluar Kijal, di sini, jam 12 tengah hari tadi.

Bayi lelaki berusia empat bulan dan kakaknya berusia tiga tahun yang menaiki kereta Proton Wira belum diperoleh identiti, manakala wanita yang maut iaitu penumpang kereta Perodua Axia dikenali sebagai Hasnah Ali.

Jurucakap bomba berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira dipandu bapa dua beradik terbabit yang dari arah Kemaman ke Kuala Terengganu dikatakan berhenti di lorong kecemasan di lokasi itu.

Katanya, dalam masa sama, Proton Axia dipandu anak perempuan Hasnah yang menghala ke arah sama dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh bahagian belakang Proton Wira terbabit.

“Rempuhan kuat menyebabkan dua beradik itu termasuk Hasnah tercampak keluar daripada kenderaan masing-masing dan kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

“Ibu bapa dua beradik terbabit dilaporkan parah dan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut, manakala dua anak Hasnah dan suaminya dilaporkan hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitenden Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes masih dalam siasatan lanjut – berita harian