GERIK: Berpantang maut sebelum ajal, itulah pepatah tepat menggambarkan tragedi menimpa dua beranak yang hanya cedera ringan selepas kereta yang mereka naiki jatuh gaung sedalam 60 meter di Kilometer 16.3 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, kereta dinaiki Wong Wai Yeen, 43 dan bapanya, Wong Fee Loon, 76, dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di lokasi kejadian, sebelum kenderaan itu terbabas dan meluncur ke bawah gaung melalui longkang air berbentuk seperti anak tangga.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Zainal Abidin Abd Ghani, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.17 petang.

Katanya, sebaik tiba anggota bomba mendapati kereta jenis PROTON Persona memasuki gaung sedalam 60 meter.

“Ketika anggota bomba tiba di lokasi kejadian, terdapat dua mangsa, namun kedua-duanya berjaya keluar dari kenderaan berkenaan dengan sendiri.

“Anggota bomba turun ke bawah dan kemudian memimpin mereka naik ke atas sebelum menyerahkan mangsa kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zainal Abidin berkata, kedua-dua mangsa mengalami luka ringan dan pihak ambulans menghantar mereka ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut. Operasi menyelamat tamat pada jam 4.58 petang.