SUNGAI BESAR: Dua beranak hilang tempat berteduh selepas rumah dua tingkat mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Nelayan, Sungai Haji Dorani, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.14 malam, kediaman separuh batu milik Zainudin Parimin, 52, musnah hampir 90 peratus.

Kejadian dikatakan disedari anak mangsa yang berusia 11 tahun selepas selesai solat Maghrib di surau berdekatan sebelum kanak-kanak itu meminta bantuan jirannya menghubungi bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar Mohd Zulhilmi Mohd Ridzuan berkata, sepasukan 10 anggota dengan bantuan sembilan anggota dari BBP Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

“Tiba di lokasi, anggota mendapati api marak membakar kediaman itu serta asap hitam menyelubungi kawasan sekitar.

“Anggota mengambil masa lima minit bagi memadamkan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, tiada mangsa cedera dan punca kebakaran masih disiasat.

Mohd Zulhilmi berkata, operasi pemadaman ditamatkan jam 10.46 malam.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa juga seorang duda, berada di Tanjong Karang – berita harian