Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Dua beranak yang melecur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran yang meragut nyawa seorang warga emas dan memusnahkan rumah mereka di Kampung Baru Buntong, semalam, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Susulan insiden itu, Toon Yip Kan, 82, dan anak perempuannya, Toon Pooi Yong, 51, yang melecur teruk di muka, tangan dan badan mereka, telah dihantar untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, mereka ditempatkan di Wad Unit Kebakaran.

Katanya, kesan lecur antara lima hingga 14 peratus yang dialami kedua-dua beranak itu diklasifikasikan sebagai tidak kritikal.

“Mengikut rekod perubatan, mereka sudah dibenarkan pulang, namun ahli keluarga mahu rawatan diteruskan hingga kedua-duanya benar-benar stabil,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran itu di HRPB pada pagi Khamis.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim.

Dalam lawatan tersebut, waris mangsa menerima bantuan segera dari kerajaan negeri sebanyak RM1,000.

Kebakaran yang berlaku pada kira-kira jam 1.50 pagi semalam mengorbankan isteri Yip Kan, Lam Ah Poo, 76, yang ditemui rentung dalam timbunan bangunan dan runtuhan bumbung rumah terbabit.

Sementara itu, Rusnah berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut bagi mencari alternatif terbaik untuk membantu keluarga mangsa dari segi keperluan kediaman dan bantuan kewangan.

Menurutnya, beliau difahamkan keluarga berkenaan tidak mempunyai tempat tinggal lain dan kini menumpang sementara waktu di rumah saudara mara.

“Kita akan mempertimbangkan cara paling sesuai membantu mangsa, seperti melalui Yayasan Bina Upaya (YBU) atau agensi lain yang boleh menyalurkan peruntukan untuk menyediakan bantuan rumah.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula akan membuat susulan berhubung bantuan bulanan, memandangkan keluarga ini tergolong dalam rakyat kurang berkemampuan, mereka hanya bergantung kepada hasil jualan di pasar,” ujarnya.