SLIM RIVER: Dua mangsa yang maut dalam kemalangan tiga buah lori di Kilometer 379.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini pada Isnin malam adalah anak beranak.

Dua beranak itu dipercayai berhenti di lorong kecemasan ketika dirempuh oleh sebuah treler.

Mangsa dikenalpasti sebagai Abu Bakar Ahmad, 58, serta anaknya, Mohamad Khirulafifi Abu Bakar, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu Mohamad Khirulafifi menghadapi kerosakan dan memberhentikannya di lorong kecemasan.

Katanya, Abu Bakar yang memandu sebuah lagi lori kemudiannya berhenti di hadapan lori anaknya untuk memberi bantuan sebelum kedua-dua mereka turun untuk memeriksa lori berkenaan.

“Sedang memeriksa kerosakan, tiba-tiba datang sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah belakang dan merempuh bahagian kanan belakang lori yang rosak serta turut merempuh kedua-dua mangsa sebelum terbabas ke besi pembahagi jalan di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wan Kamarul Azran berkata, pemandu treler turut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pada Isnin malam, Astro Awani melaporkan, dua maut dalam kemalangan membabitkan dua lori tangki membawa muatan susu getah dengan sebuah treler di lokasi berkenaan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Perak, Mohamad Yunus Abu, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 7.18 malam.