PORT DICKSON: “Malam tadi ibu beritahu dia nak pergi jauh apabila saya tanya mereka mahu ke mana,” kata Inmal Mardianto Akmin, 18, anak kepada wanita Indonesia yang maut bersama anak angkatnya dalam kemalangan di Kilometer 10, Jalan Seremban-Port Dickson, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Mulyana, 39, dan Hidayu Nurmadna, 3, maut, manakala suaminya, Akmin Hariyanto, 47, cedera di badan serta anak bongsunya, Hidayah Nurmadna, 3, patah kaki kiri selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda PERODUA Kembara.

Inmal berkata, dia difahamkan ibunya sebelum itu menerima panggilan khidmat mengurut di rumah penduduk di Bandar Springhill.

“Saya dan adik, Sharul, 15 serta Yadi, 13, ketika itu ada di rumah dan bergegas ke lokasi selepas diberitahu jiran bahawa ibu dan ayah kemalangan jalan raya.

“Kami amat sedih dan tidak menyangka kemalangan berlaku ketika mereka mahu masuk ke sebuah stesen minyak untuk mengisi minyak motosikal tidak jauh dari rumah kami.

“Ibu menjalankan perkhidmatan urut untuk wanita, manakala ayah adalah tukang rumah untuk lelaki,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Port Dickson (HPD), hari ini.

Inmal berkata, jenazah ibu dan adik angkatnya akan dibawa ke kampung halaman di Jawa Timur, Indonesia, untuk dikebumikan.

“Ayah dan adik saya dibenarkan keluar hospital di Seremban untuk menguruskan penghantaran pulang jenazah ibu melalui Kedutaan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta PERODUA Kembara dipandu lelaki warga emas berusia 64 tahun itu gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa yang mahu membelok masuk ke stesen minyak.

“Rempuhan itu menyebabkan Mulyana maut di tempat kejadian dan anak angkatnya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban,” katanya.

Beliau berkata, pemandu PERODUA Kembara itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 198 – berita harian