KUALA SELANGOR – Dua beranak maut termasuk seorang kanak-kanak setelah kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki mereka melanggar seekor kerbau dalam kejadian di Jalan Timur Tambahan, Sungai Tengi di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, Nor Aini Jubri, 33, yang hamil lapan bulan dan anaknya lelakinya, Muhammad Tahfeez Syahmi Shahrulnizam, 3, disahkan meninggal dunia akibat parah di badan dan kepala ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, pemandu kereta yang juga suami mangsa, Shahrulnizam Azizan, 33, parah akibat patah tulang rusuk dan masih dirawat di hospital sama.

Menurut sumber, kemalangan dikatakan berlaku apabila kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Bestari Jaya dari Jalan Bukit Tagar.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan gagal mengelak seekor kerbau yang berada di tengah jalan sebelum melanggar haiwan terbabit.

“Pelanggaran itu mengakibatkan, kereta berkenaan terbabas di bahu kiri jalan dengan kerbau tersebut turut mati,” katanya.

– K! ONLINE