GERIK – Seorang kanak-kanak dengan keadaan bermandi darah di kepala merangkak naik dari gaung untuk meminta bantuan kenderaan lalu lalang setelah kereta dipandu ayahnya terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 200 meter di Kilometer 27 Jalan Gerik-Kupang malam tadi.

Mangsa Muhammad Firdaus Md Zahar, 9, tahun menangis berjalan seorang diri di tepi jalan raya meminta bantuan sebelum disedari orang awam yang menghampiri lokasi kejadian.

Ketua Polis Gerik, Superintenden Ismail Che Isa berkata kemalangan yang berlaku sekitar 7 malam itu mengorbankan ayah mangsa Md Zahar Md Ali, 38, bersama seorang lagi anaknya Muhammad Fariz berusia tujuh tahun.

“Hasil dari siasatan awal dan maklumat saksi, pada jam 7.45 malam, beliau yang datang dari arah bertentangan ternampak Muhammad Firdaus di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah.

“Saksi kemudian berpatah balik ke arah mangsa dan dimaklumkan oleh mangsa bahawa bapa dan adiknya telah terjatuh ke dalam gaung. Saksi kemudiannya menghubungi 999 bagi mendapatkan bantuan,” ujar beliau ketika dihubungi.

Katanya kereta Proton Exora yang dipandu Md Zahar dipercayai laju dan gagal dikawal ketika menuruni bukit di jalan selekoh dua lorong berdekatan sempadan Gerik-Baling menyebabkan hilang kawalan lalu terjunam ke dalam gaung kira-kira 200 meter.

Katanya Md Zahar, seorang tentera laut berpengkalan di Lumut telah membawa dua anaknya untuk balik ke kampung menziarahi datuk dan nenek mereka yang tidak sihat.

Menurut Ismail, mayat Muhammad Faris berjaya dikeluarkan pada pukul 10.25 malam manakala mayat Md Zahar pada jam 11.40 malam.

“Waris ketiga-tiga mangsa telah dikesan dan siasatan lanjut di tempat kejadian akan diteruskan pada waktu siang,” tambah beliau.

Bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa akan dijalankan pada jam 10 pagi ini di Hospital Gerik manakala Muhammad Firdaus yang mengalami kecederaan di kepala sedang dirawat di Hospital Tuanku Bainun, Ipoh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.