Georgetown: Seorang bapa dan anaknya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana memiliki rokok seludup bernilai lebih RM15,000.

Tertuduh, Seeni Bazarudeen Abdul Haq, 43, dan bapanya, Abdul Haq Abdul Ghany, 71, tiba di mahkamah secara berasingan jam 9.30 pagi dan 10.30 pagi.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa memiliki 187,720 rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM15,213.20 di kedai runcit Senirina Enterprise di Pangsapuri Desa Intan, Lebuh Raya Thean Teik pada 4 Februari jam 1 tengah hari.

Mereka ditahan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) pada hari sama sebelum pihak berkuasa merampas 154,400 rokok John, 200 rokok Saat , 1,200 rokok Luffman, 4,160 rokok LA, 5,040 keretek Gudang Garam, 1,920 rokok Minna, 5,200 rokok U2, 9,000 rokok Fisher, 2,600 rokok Tex, 1,200 rokok Canyon dan 1,800 rokok Fort.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (iii) akta sama dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh didenda antara RM152,132 dan RM304,264 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 135 (1) (iii) (aa) Akta Kastam 1967.

Kes dikendalikan Pegawai Pertuduhan KDRM, Siti Nurfirziatul Fazliani Mohd Zain manakala tertuduh diwakili Datuk K Supramaniam.

Siti memohon tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Supramaniam bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Jamaliah membenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin manakala 13 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-metro