LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 3 Lumut telah menahan dua buah bot nelayan tempatan bernombor pendaftaran PKFA 7623 (B) dan PKFB 1208 (B) bersama 4 kru warganegara Myanmar atas kesalahan melanggar syarat lesen di antara jam 8.00 pagi hingga 9.05 pagi tadi.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Wan Mat bin Wan Abdullah berkata, Kapal Maritim Nyalau yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Syed Hazlan Izham bin Syid Abdullah berpangkalan di Lumut telah menahan bot berkenaan ketika melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan Malaysia.

”Setelah diperiksa didapati bot tersebut telah menjalankan aktiviti menangkap ikan yang melanggar syarat-syarat yang dinyatakan di dalam lesen dan kru warga asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Keempat-empat awak-awak warga asing yang berumur antara 17 hingga 37 tahun di tahan kira -kira 8 batu nautika dari Barat Pulau Talang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Wan Mat, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imgiresen 1959/63.

Ujar beliau lagi, pihak Maritim Malaysia akan bertindak tegas terhadap mana-mana bot nelayan tempatan yang didapati melanggar syarat lesen menangkap ikan serta menggajikan warga asing tanpa kebenaran dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

”Bot bersama tekong dan awak – awak kemudiannya diiringi balik ke jeti Kampong Acheh untuk siasatan lanjut,” katanya.