KUALA LUMPUR: Dua lelaki masing-masing dihukum penjara 14 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku salah terhadap pelbagai pertuduhan membabitkan perbuatan pengganas Daesh berkaitan rancangan untuk menyerang The Better Festival Beer 2017 di ibu negara, Oktober tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 25, dan Mahadi Ibrahim, 35, kedua-duanya bekerja sebagai buruh kasar.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius kerana sekiranya festival itu tidak dibatalkan dan mereka tidak ditangkap pihak berkuasa, akan berlaku tragedi yang mungkin akan mendatangkan kecederaan dan kematian kepada pengunjung.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Azmi didakwa menerima latihan pengganas melalui WhatsApp ” The Rise of Jundullah” dalam membuat bahan letupan daripada Muhammad Hafizi Mat Jusoh iaitu seorang yang bersedia untuk membabitkan diri dalam perbuatan pengganas di Kota Bharu, Kelantan antara jam 9.07 malam dan 10.28 malam, 23 September 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 130FA(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa hadir ke tempat latihan di sebuah kawasan tanah lapang berhampiran bangunan tapak semaian benih padi, Gong Kulim, Pasir Puteh, Kelantan sebagai persediaan perbuatan pengganas antara jam 3.30 petang dan 4 petang, 10 Oktober 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 130FB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda.

Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki 20 keping gambar, tiga video dan 16 naskhah dokumen bentuk PDF dalam telefon bimbit yang mempunyai kaitan dengan perbuatan pengganas Daish di Restoran K&K, Lot 2689, Jalan Tok Janggut, Kampung Kelubi, Pasir Puteh, Kelantan pada jam 4.30 petang, 10 Oktober 2017 dan didakwa mengikut perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item itu.

Mohd Sofian memerintahkan Ahmad Azmi dihukum penjara 14 tahun bagi pertuduhan pertama, lima tahun bagi pertuduhan kedua dan tiga tahun bagi pertuduhan ketiga. Bagaimanapun ketiga-tiga hukuman itu diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tangkap 10 Oktober 2017.

Sementara itu, Mahadi didakwa mengikut Seksyen 130FA(a) Kanun Keseksaan iaitu menerima latihan pengganas melalui WhatsApp ” The Rise of Jundullah” di Kota Bharu, Kelantan antara jam 9.07 malam dan 10.28 malam, 23 September 2017.

Dia juga didakwa dengan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 130FB(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu hadir di tempat latihan pengganas di sebuah kawasan tanah lapang berhampiran bangunan tapak semaian benih padi, Gong Kulim, Pasir Putih, Kelantan sebagai persediaan perbuatan pengganas antara jam 3.30 petang dan 4 petang, 10 Oktober 2017.

Mahkamah memerintahkan Mahadi dihukum penjara 14 tahun bagi pertuduhan pertama dan lima tahun bagi pertuduhan kedua bagaimanapun kedua-dua hukuman itu diarah berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 10 Oktober 2017.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman yang ringan atas alasan mereka sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang mereka lakukan.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis telah menahan kedua-dua tertuduh di sebuah restoran dan hasil siasatan dalam telefon bimbit mereka mendapati terdapat perbualan WhatsApp untuk meletupkan pesta arak itu – berita harian