IPOH: Bencana banjir yang melanda Perak kini merangkumi dua daerah susulan pembukaan dua pusat pemindahan sementara di Kerian, 76 kilometer dari sini, malam tadi, selain di daerah Larut, Matang dan Selama.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, pusat yang baru dibuka itu menempatkan penduduk yang terpaksa dipindahkan susulan banjir kilat.

Pusat terbabit ialah Dewan Orang Ramai Padang Lalang yang menempatkan 108 mangsa dan Dewan Orang Ramai Kampung Alor Setanggok dengan 89 mangsa.

Mangsa banjir di Larut, Matang dan Selama, kekal 96 orang merangkumi 23 keluarga yang ditempatkan di Surau Kelip-Kelip, Kampung Dew.

Menurut jurucakap itu, dengan penambahan tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir Perak seramai 293 orang daripada 69 buah keluarga di tiga pusat pemindahan di dua daerah setakat ini.