BATU GAJAH – Dua lelaki ditahan polis kerana disyaki memecah masuk sebelum melarikan peralatan di dalam pondok keselamatan di Taman Raja Savanna di sini.

Tangkapan kedua-dua suspek dalam dua serbuan berasingan di Ipoh, semalam itu dilakukan selepas menerima aduan penduduk berhubung kejadian yang berlaku pada 19 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, penduduk mendapati pintu cermin dan jeriji besi di bahagian dalam pondok berkeaan terbuka selain terdapat kesan umpil pada jeriji besi serta mangga kunci dipotong.

“Pengadu turut memaklumkan terdapat sebahagian barang di dalam pondok pengawal itu hilang termasuk papan kekunci, tetikus, modem, dekoder kamera litar tertutup (CCTV), baton ‘flashlight’ warna merah, dan monitor komputer.

“Terdapat saksi lain yang juga penduduk di taman tersebut mendakwa ternampak suspek menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi warna putih berhampiran pondok pengawal dalam keadaan mencurigakan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pondok pengawal keselamatan berukuran 15 meter persegi yang siap dibina pada tahun 2015 itu tidak mempunyai anggota pengawal keselamatan berkawal sejak Oktober 2018.

“Siasatan awal mendapati wujud kesan umpil pada grill pintu masuk pondok pengawal tersebut dan polis berjaya mengesan cap jari suspek pada pintu pondok terbabit.

“Susulan itu, lebih kurang jam 6.45 petang semalam, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah membuat tangkapan kedua-dua suspek berusia 28 dan 39 tahun di Jalan Gopeng dan Taman Lapangan Melodi, Ipoh,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan jenayah dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan barangan curi lain.

“Semakan mendapat kedua-duanya mempunyai 12 rekod jenayah lampau, namun hasil pemeriksaan air kencing terhadap kedua-dua suspek adalah negatif,” katanya – sinar harian