KUALA KANGSAR : Dua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak hari ini bergelar Datuk selepas masing-masing menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Exco berkenaan ialah Pengerusi Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Datuk Asmuni Awi serta Pengerusi Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Selain Asmuni dan Abdul Yunus, Sultan Nazrin turut menganugerahkan DPMP yang membawa gelaran Datuk kepada 10 lagi penerima termasuk Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Mahmoud Hussien Saeed Qattan; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Mohamad Sadik Kethergany; Timbalan Mufti Negeri Perak, Datuk Zamri Hashim serta Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Datuk Dr Kavitha M Bhojwan.

Prof Datuk Rajah Rasiah dari Institut Asia Eropah, Universiti Malaya; Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Datuk Zulazlan Abu Hassan serta Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr P Chandrawathani turut menerima DPMP daripada Sultan Nazrin.

Terdahulu, Ketua Polis Negara mendahului senarai 19 penerima pada hari ini dengan menerima Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima diikuti pengurniaan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayop Hashim.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) kepada Pengerusi Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Datuk Asmuni Awi yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Balairong Seri Istana Iskandariah hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. – Foto Bernama
Sementara itu, Sultan Nazrin berkenaan menganugerahkan Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Baginda juga berkenan menganugerahkan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan kepada empat individu iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Pelaksanaan Projek) Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kementerian Pertahanan Datuk Pahlawan Brig Jen Mustaffa Othman serta Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Pahlawan SAC Azizi Mat Aris.

Dua lagi penerima DPTS ialah Datuk Pahlawan Laksamana Pertama Affendy Suhaimi dari Markas Tentera Laut Bahagian Materiel, Kementerian Pertahanan dan Datuk Pahlawan Brig Jen Dr Rozali Ahmad dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan barisan Exco kerajaan negeri.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen, Kem Sangro Taiping diketuai Kolonel Muhammad Zamri Musa.

Istiadat penganugerahan darjah dan pingat kebesaran negeri Perak kepada 234 lagi penerima dijadualkan pada 16 Nov ini, juga di Istana Iskandariah. – Bernama
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/56532/BERITA/Nasional/Dua-Exco-Perak-dapat-gelaran-Datuk
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf