IPOH: Polis Perak menembak mati dua ahli geng Samun Rantau Sitiawan di kawasan perkampungan Batu 13 Teluk Intan pada awal pagi Selasa.

Suspek warga asing yang dikenali sebagai Ari dan Kenjo itu maut ditempat kejadian selepas berbalas tembakan dengan sepasukan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah D9 Perak yang melakukan rondaan di kawasan Bidor – Hilir Perak.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, dalam kejadian 2.10 pagi itu, pasukannya sedang melakukan rondaan sebelum terserempak dengan kenderaan dinaiki oleh kedua-dua suspek yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun itu.

“Polis cuba tahan kereta Proton Saga BLM, namun kenderaan itu terus memecut laju melalui lorong kampung sebelum terbabas di kiri jalan.

“Ketika polis menghampiri kenderaan itu, pemandunya melepaskan tembakan manakala penumpang pula keluar sambil melibas parang ke anggota polis,” katanya dalam satu sidang media khas di sini pada Selasa.

Jelas beliau, dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis telah membalas tembakan dan tiada anggotap polis yang mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.

“Geng Samun Rantau Sitiawan yang melibatkan warga asing ini aktif melakukan jenayah samun di mana mangsa diikat dan dicederakan.

“Kita telah kesan 10 kes yang dilakukan kumpulan ini di Perak dan Penang yang melibatkan kerugian dianggarkan RM450,000,” tambah beliau.

Katanya lagi, tiga lagi ahli kumpulan itu telah pulang ke negara asal masing-masing sebelum kejadian, manakala dua lagi telah ditembak mati pada tahun lalu di daerah Muallim.

“Turut dijumpai ditempat kejadian adalah dua pucuk pistol buatan sendiri, peluru hidup serta parang,” ujar beliau.