DUA bentuk insentif menanti pemain bola sepak Perak selepas berjaya menjulang Piala Malaysia dalam tempoh 18 tahun, 27 Oktober lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hadiah itu berbentuk wang tunai dan anugerah istimewa kurniaan kerajaan negeri.

“Sebelum perlawanan akhir lagi, saya sudah bisikkan kepada Presiden Pafa, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan pengurus pasukan untuk mereka maklumkan kepada pemain bahawa kerajaan negeri akan beri insentif menarik jika berjaya bawa pulang Piala Malaysia.

“Kejayaan yang diraih begitu membanggakan kita dan sudah pasti pemain gembira dengan insentif yang akan diberikan nanti,” katanya pada program Retreat Draf Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 (Kajian Semula) di sini, hari ini.

Beliau berkata, selaku juara, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) turut menerima imbuhan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan wang berkenaan turut digunakan sebagai insentif kepada pemain.

“Jadi, kerajaan negeri akan tambah imbuhan itu, jumlahnya akan saya umum selepas piala itu dipersembahkan kepada baginda Tuanku Sultan Perak nanti,” katanya.

Semalam, Ahmad Faizal memaklumkan, kesemua pemain dan pegawai pasukan akan menerima pingat kebesaran pada hari kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, 10 November ini.

Perak di bawah bimbingan jurulatih Mehmet Durakovic muncul juara Piala Malaysia 2018 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1 menerusi penentuan penalti dalam aksi final di Stadium Shah Alam – sinar