TAIPING – Seorang pendaki bukit tersesat lebih dua jam sewaktu hendak menuruni Hutan Simpan Bukit Larut, di sini dalam kejadian pagi tadi.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 33 tahun dan berasal dari Kuala Kangsar itu berjaya ditemui sekumpulan anggota bomba dari Balai Bomba da Penyelamat (BBP) Taiping dan dibawa turun untuk diberikan bantuan kecemasan.

Ketua Operasi BBP Taiping, Penolong Bomba Kanan II, Mazli A Mutallib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada mangsa pada jam 11.17 pagi yang memaklumkan dia tersesat di lereng Hutan Simpan Bukit Larut, di sini.

Menurutnya, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada jam 11.23 pagi.

“Mangsa memaklumkan bersendirian mendaki bukit itu bermula jam 8.30 pagi tadi. Sewaktu menuruni bukit, mangsa menyedari dirinya tersesat lalu menghubungi kami.

“Operasi pencarian dimulakan dan mangsa kemudiannya ditemui pasukan penyelamat sekitar jam 1.40 petang tadi,” katanya kepada media di sini hari ini.

Mazli berkata, mangsa ditemui pada ketinggian 800 meter dari paras laut dan kira-kira 500 meter dari jalan tar di bukit itu.

“Mangsa dikenal pasti selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dan berjaya dibawa turun ke kaki Bukit Larut, sekaligus menamatkan operasi pada jam 3.44 petang,”katanya.

Mazli berkata, mangsa menceritakan dia sudah biasa beriadah mendaki bukit menggunakan laluan itu. Namun sewaktu turun dan tiba di satu persimpangan di Bukit Larut, mangsa dikatakan tersalah memilih laluan sebelum menyedari dia telah tersesat – sinar harian