BATU PAHAT: Dua jari tangan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Menteri, Ayer Hitam, di sini, hampir putus akibat terpotong mesin memotong kayu, semalam.

Kejadian berlaku jam 7.45 pagi ketika Muhd Nur Adham Mohd Jasni, 14, baru memulakan kelas di dalam bengkel subjek Kemahiran Hidup di sekolahnya.

Bapa Muhd Nur Adham, Mohd Hasni Mohamed, 44, berkata anaknya ketika itu baru memulakan kerja untuk memotong kayu menggunakan mesin yang ada di bengkel sekolah sambil dipantau oleh gurunya.

“Anak saya mahu memotong kayu menggunakan mesin pemotong kayu dan tiba-tiba tangannya tergelincir lalu terpotong jari telunjuk dan jari hantunya.

“Akibatnya dua jari tangan anak saya hampir terputus sebelum guru sekolah bergegas membawa anak saya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, untuk rawatan segera,” katanya.

Mohd Jasni berkata, keadaannya anaknya kini stabil dan hanya menunggu masa untuk proses pembedahan bagi menyelamatkan kedua-dua jari tangan anaknya.

“Syukur keadaan anak saya agak baik dan emosinya begitu stabil. Kami sekeluarga sama-sama memberi semangat kepadanya untuk teruskan kehidupan seperti biasa.

“Terima kasih kepada pihak sekolah yang prihatin ke atas anak saya yang ditimpa kemalangan dan sering mengambil tahu keadaannya di hospital serta memberi sumbangan kepada kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, doktor menyatakan pihak hospital akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan jari tangan anaknya yang hampir putus itu dengan memasang alat khas – berita harian