IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan bahawa dua kakitangan Maju Perak Holdings Berhad (MHB), telah dijangkiti COVID-19.

Menurut beliau, ekoran daripada itu, pihak MHB, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah menyalurkan bantuan kepada mereka dan keluarga.

Dalam masa sama, katanya, mengambil iktibar daripada kejadian itu, pihak syarikat telah melancarkan Tabung Khas COVID-19 untuk membantu mereka yang terkesan dengan pandemik tersebut.

“Saya berharap semua GLC dan syarikat korporat di negeri Perak tampil ke depan membantu pihak kerajaan untuk memberi bantuan kepada petugas barisan hadapan kita dan juga kepada golongan yang memerlukan di saat-saat seperti sekarang ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada kumpulan sasar di Menara PKNP di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif PKNP, Mohd. Ariff Yeop Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif MPH, Nizran Noordin.

Tabung khas itu telah dilancarkan pada 31 Mac lalu sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu
golongan kurang berkemampuan serta barisan hadapan hospital yang terkesan dengan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehingga semalam, kutipan keseluruhan tabung itu berjumlah RM 92,141 serta sumbangan topeng muka berjumlah 5,000 unit.