PETALING JAYA: Keluarga dua kanak-kanak yang didakwa dilarikan individu tidak dikenali dari sebuah tadika di Seksyen 16, dekat sini, kini buntu apabila selepas lebih 48 jam, mereka masih tidak tahu nasib menimpa kanak-kanak terbabit.

Difahamkan, Najmah Mohd Haslam, 42, ibu saudara Raheel Khan Mohd Saleem, 6, dan Aleeya Reyhana, 4, cuba mendapatkan rakaman kamera CCTV tadika berkenaan untuk melihat sendiri individu yang mengambil dua kanak-kanak terbabit, namun gagal.

Najmah berkata, mereka mengesyaki ibu kandung kanak-kanak berkenaan yang juga warganegara New Zealand berusia lingkungan 20-an mengambil dua beradik itu, namun tidak dapat mengesahkannya sehingga kini.

“Jika benar ibu kepada anak saudara yang ambil mereka dari tadika, mereka sepatutnya memaklumkan kepada kami kerana kami sendiri tidak pernah menghalang wanita itu untuk berjumpa dengan dua beradik itu sejak mereka tinggal bersama kami setahun lalu.

“Kami juga cuba menghubungi ibu kepada wanita berkenaan, namun dia juga tidak memberikan kerjasama yang baik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 16, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi Khamis lalu itu, dua beradik terbabit dikatakan dilarikan oleh tiga individu tidak dikenali, termasuk seorang wanita ketika berada di tadika berkenaan.

Kehilangan mereka disedari ketika ibu saudaranya pergi ke tadika terbabit untuk menjemput adik-beradik itu pulang, namun dimaklumkan oleh guru bahawa mereka diambil oleh seorang wanita didakwa ibu kandung kanak-kanak berkenaan untuk pemeriksaan kesihatan.

Najmah berkata, sehingga kini keluarga belum mendapat sebarang perkembangan mengenai kehilangan dua beradik itu, menyebabkan bapa kanak-kanak berkenaan tidak tidak dapat melelapkan mata sejak hari kejadian.

“Saya berharap pihak polis dapat menunjukkan rakaman CCTV dari tadika berkenaan kepada kami. Sekurang-kurangnya kami tahu siapa yang mengambil dua beradik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Laporan sebelum ini menyebut siasatan awal polis mendapati kanak-kanak terbabit dipercayai dilarikan oleh orang dikenali dan menolak mereka diculik -berita harian