ALOR SETAR: Hujan lebat berserta angin kencang yang melanda daerah ini malam tadi menyebabkan dua pokok di Titi Gajah di sini, tumbang dan menghempap dua kereta.

Bagaimanapun, dalam kejadian tengah malam itu, pemandu dan penumpang kenderaan terbabit dilaporkan selamat.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar, Leftenan (PA) Mohamad Rizal Abd Razak, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian pada jam 12.11 malam.

Katanya, sebaik tiba di lokasi didapati pokok tumbang itu turut menghalang laluan jalan, selain menghempap dua kereta berkenaan.

“Seramai 13 anggota yang tiba di lokasi mengambil masa kira-kira 21 minit untuk memotong pokok dan membersihkan kawasan itu.

“Orang awam dinasihatkan berhati-hati ketika musim hujan dan ribut bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Sebarang laporan mengenai pokok tumbang atau ribut boleh dibuat melalui panggilan 999 atau talian hotline APM Kota Setar (Operasi) 04-7323801 dan 04-7323810