IPOH: Krisis kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak terus meruncing selepas dua Ketua Penaja Bahagiannya di Kuala Kangsar dan Parit mengumumkan peletakan jawatan yang disandang mereka dan membubarkan kesemua ahli jawatankuasa di dua kawasan tersebut.

Lebih parah, Ketua Penaja Bahagian Parit, Rosli Ali turut mengumumkan keluar parti bersama 200 lagi ahli di bahagian tersebut manakala Ketua Penaja Bahagian Kuala Kangsar, Dul Hayati Baheran masih akan terus bersama parti.

Menurut Rosli, beliau mengambil keputusan itu kerana rasa terbiar oleh kepimpinan negeri serta berpendapat PPBM Perak sudah hilang arah tuju serta punca.

“Tidak wujud semangat berpasukan dan kami jarang dilibatkan dengan sebarang perbincangan sehinggakan kami sendiri tak tahu apa yang berlaku dan apa yang harus kami lakukan sebagai Ketua Bahagian.

“Objektif PPBM mulai lari dari landasan sebenar, PPBM bukan sahaja bermain dengan politik tidak matang dan berserabut tetapi lebih bersifat sebagai “Sarang naga” yang menyaksikan golongan yang datangnya dari kem-kem tertentu berebut jawatan dan pada masa sama amalkan dasar cantas dan menekan,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Khamis.

Dul Hayati pula memberi alasan meletakkan jawatan kerana tidak merasakan PPBM yang kini bersama Pakatan Harapan mampu memenangi Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang di bawah kepimpinan negeri sedia ada.

“Di Perak, khususnya Kuala Kangsar terlalu banyak campur tangan urusan di peringkat bahagian oleh wakil pengerusi negeri yang akhirnya menyebabkan perbalahan serta pecah belah.

“Saya seolah tidak dipercayai dan tidak diiktiraf sebagai ketua bahagian Kuala Kangsar sehingga wujud dua kumpulan kepimpinan bahagian.

“Saya amat kecewa pilihan raya hampir tiba tetapi tidak nampak gerak kerja yang boleh menjamin kemenangan melain perbalahan di peringkat bahagian yang langsung tidak mendapat perhatian dari pemimpin negeri mahupun pusat,” ujar beliau.

Justeru, mereka berdua berharap peletakkan jawatan tersebut dapat dijadikan iktibar oleh pemimpin PPBM di peringkat pusat dan mengambil tindakan membaiki keadaan sebelum ianya lebih meruncing.