IPOH – Dua penambahbaikan akan menjadi keutamaan Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran bagi memastikan kementerian itu cemerlang dan berdaya saing untuk memastikan golongan pekerja menjalani kehidupan serta persekitaran bekerja yang baik.

Dua penambahbaikan itu adalah menilai semula sistem lama mahkamah perusahaan yang mengambil tempoh lama untuk dibicarakan dan memperkasakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, jawatan yang diberikan kepadanya itu sebenarnya dekat dengan kecenderungannya sebelum ini ketika menjadi peguam.

Menurutnya, pengalaman sebagai peguam selama 30 tahun membawa kes berkaitan ke Mahkamah Buruh dan Mahkamah Perusahaan selain membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi sangat membantunya kini.

“Sebagai ahli politik, kita mahu bantu orang ini (golongan miskin, B40) yang mengalami masalah pekerjaan.

“Malah sehingga kini, masih banyak lagi kes seperti ini di pejabat saya untuk diuruskan,” katanya.

Tambahnya daripada pemerhatian, penambahbaikan perlu dilakukan termasuk mempercepatkan perbicaraan di Mahkamah Buruh dan Mahkamah Perusahaan yang kadang kala mengambil masa sehingga tiga tahun untuk diselesaikan.

Berbanding Mahkamah Sivil, Indeks Prestasi Utama (KPI) proses keseluruhannya tidak melebihi 9 bulan.

“Jika satu-satu kes itu mengambil masa lama, ia menyusahkan rakyat. Masalah ini disebabkan sistem yang lama masih diguna pakai,” katanya.

Kulasegaran berkata, Perkeso antara agensi di bawah bidang kuasanya malah memainkan peranan besar dalam membantu rakyat.

“Saya ingin cadangkan suri rumah juga mendapat manfaat daripada Perkeso. Kita akan teliti perkara ini sama ada kerajaan dapat membantu menanggung yuran mereka,” katanya.

Pada masa sama, Kulasegaran juga akan melawat pejabat buruh di seluruh negara sebagai pembakar semangat agar menjadi jabatan yang terbaik dan efisien.

Menjadi satu-satunya menteri dari kaum India, Kulasegaran tidak menafikan bidang tugasnya bukan hanya tertumpu kepada skop tenaga manusia malah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan masyarakat India mendapat manfaat yang sewajarnya.

“Saya akan menjadi rujukan mereka dari A hingga Z, dari segi bantuan Tekun, biasiswa, pinjaman, bantuan perumahan dan sebagainya.

“Ia memang beban sangat besar tetapi saya anggap perkara ini permulaan untuk meyakinkan rakyat terutama kaum India bahawa mereka sentiasa mendapat perhatian kerajaan,” katanya.

Menyedari hakikat tanggungjawabnya semakin berat, Kulasegaran akan memberi tumpuan kepada jawatan menteri dan terpaksa berhenti dari kerjaya profesionalnya.

“Saya akan berhenti jadi peguam, tetapi di firma saya masih ada peguam lain, mereka akan mengambil alih kes-kes yang sedang saya kendalikan,” katanya – sinar