PETALING JAYA : Polis menahan dua lagi ahli DAP di Melaka dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Ketua Polis Melaka Mat Kasim Karim.

Mat Kasim berkata, kedua-dua individu berkenaan ditahan ketika serbuan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), hari ini.

“Memang betul mereka ditahan di bawah SOSMA oleh pihak polis Bukit Aman hari ini dan ia berkait dengan penahanan seorang Exco Melaka sebelum ini.

“Maklumat lanjut bagaimanapun saya tak boleh maklumkan lagi dan kita serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan,” katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Sementara itu, pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew, mengesahkan kedua-dua individu itu ialah ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan negeri.

“Saya difahamkan mereka ditahan di rumah masing-masing, sekitar Durian Tunggal, Alor Gajah, di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi,” katanya.

Sebelum ini ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga Exco kerajaan negeri Melaka, antara tujuh individu ditahan pihak polis selepas dipercayai terbabit dengan gerakan menyokong LTTE.

Mereka ditahan kerana didakwa mempromosi, menyokong dan memiliki bahan serta mengagihkan dana yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas itu.

Portal itu dalam laporannya memetik sumber Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman pula berkata, lima lagi individu disyaki terbabit dengan perjuangan kumpulan LTTE ditahan hari ini dalam satu operasi khas polis di beberapa negeri.

Menurut sumber Bukit Aman, polis menahan dua suspek di Melaka, dua lagi di Pulau Pinang dan seorang di Selangor, namun enggan menjelaskan butiran lanjut.

“Maklumat lanjut berhubung penahanan mereka itu akan dimaklumkan dalam sidang media esok,” katanya.