KUALA LUMPUR : Dua lagi kanak-kanak disahkan dijangkiti virus polio, pesakit kedua dan ketiga direkodkan di Sabah selepas seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kanak-kanak lelaki itu yang masing-masing berusia lapan dan 11 tahun merupakan warganegara asing.

“Kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun yang menetap di Sandakan tidak pernah menerima sebarang imunisasi. Pada 9 Dis 2019, dia telah mengalami demam dan tiga hari kemudian tidak boleh berjalan.

“Seorang lagi kanak-kanak menetap di Kinabatangan tidak pernah mendapat sebarang imunisasi mengalami demam pada 17 Nov 2019 dan telah mendapatkan rawatan di klinik. Pada 1 Dis, dia dimasukkan ke hospital setelah mengadu sakit pada bahagian belakang dan tidak boleh berjalan. Pesakit kini boleh berjalan dengan bertongkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata semua pesakit masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Dr Noor Hisham berkata ujian makmal World Health Organization Polio Regional Reference Laboratory (WHO Polio RRL) di Melbourne, Australia mendapati virus polio yang menjangkiti ketiga-tiga pesakit itu mempunyai perkaitan genetik dengan kes polio di Filipina.

Katanya, siasatan rapi telah dijalankan bagi mengenal pasti punca jangkitan kedua-dua kes baharu ini sebaik sahaja ia dikenal pasti sebagai survelan acute flaccid paralysis (AFP).

Sehingga kini, seramai 705 penduduk di kawasan tempat tinggal kedua-dua kanak-kanak itu telah diperiksa dan tiada kes AFP lain yang dikesan.

“Seramai 65 kanak-kanak didapati cicir imunisasi polio dalam kawasan tempat tinggal kes-kes terbabit dan telah diberi suntikan vaksin polio menggunakan vaksin kombinasi lima serangkai (DTaP-IPV//HiB),” katanya.

Beliau berkata aktiviti kawalan wabak polio di seluruh Sabah juga sedang giat dilaksanakan manakala Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS 2019/2020) yang menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah juga telah dimulakan pada 27 Dis lepas.

Kementerian Kesihatan menyeru penduduk Sabah terutama ibu bapa supaya memberi perhatian khusus dalam beberapa perkara termasuk memastikan anak-anak berumur bawah lima tahun menerima dua dos vaksin polio secara titis (OPV) semasa kempen itu dijalankan, meneruskan imunisasi rutin di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan mengikut jadual yang ditetapkan, menjaga kebersihan diri termasuk mandi menggunakan air terawat, mencuci tangan selepas ke tandas dan sebelum makan serta sebelum menyediakan makanan untuk kanak-kanak.

Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk segera mendapatkan rawatan awal di klinik atau hospital berdekatan sekiranya terdapat tanda-tanda dan gejala penyakit polio, sentiasa mengambil langkah pencegahan yang disarankan Kementerian Kesihatan serta sentiasa memberikan kerjasama dalam semua aktiviti yang dilaksanakan. – BERNAMA