IPOH – Dua lagi pembaharuan Sidang Dun Perak diumumkan pada hari kedua Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dun ke-14, hari ini.

Speaker Dun Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, pertama, bagi agenda Dewan Persidangan Negeri, nombor giliran jawapan lisan boleh diketahui sebelum persidangan berlangsung melalui e-Dewan.

Menurutnya, dalam persidangan sebelum ini, Adun hanya mengetahui giliran apabila tiba di Dewan Negeri.

“Ia dibuat untuk memboleh YB mengatur masa dengan baik dan menggunakan masa secara lebih berhemah.

“Bagaimanapun, keputusan itu bukan untuk menggalakkan YB ponteng atau tidak hadir ke dalam Dewan kerana soalan mereka tidak dijawab pada hari berkenaan,” katanya hari ini.

Koo Ham berkata, satu lagi pembaharuan dibuat adalah semua Adun tidak lagi diberikan salinan teks handsard seperti sebelum ini tetapi semua handsard boleh diakses melalui e-Dewan.

Menurutnya, perkara itu dilaksanakan bagi menyahut amalan hijau dan menjadikan teladan kepada Dewan Negeri lain.

Sebelum ini dalam sidang medianya pada 3 Ogos lalu, Koo Ham turut mengumumkan beberapa pembaharuan Sidang Dun Perak iaitu mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang Dun dengan memberi beberapa kemudahan termasuk pejabat.

Menurutnya, selain itu masa yang ditetapkan kepada ketua pembangkang untuk berbahas ditambah daripada 40 minit kepada satu jam manakala masa bagi setiap Adun berbahas ditambah menjadi 30 minit.

Beliau berkata, masa sesi soalan lisan yang sebelum ini ditetapkan satu jam turut ditambah sehingga satu jam 30 minit setiap hari.

Katanya, selain itu pintu masuk ke dalam Dewan dikawal pegawai keselamatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan bukan lagi pihak polis bagi mengelak persepsi bahawa Dewan dikawal eksekutif – sinar