Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SERI MANJUNG: Dua suspek yang ditahan berhubung kes kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) direman selama enam hari bermula pada hari ini (Isnin) hingga 7 Oktober depan.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim membenarkan penahanan reman itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Kedua-dua suspek yang merupakan anggota TLDM, direman bagi membantu siasatan membabitkan kematian Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, yang dipercayai didera.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, kedua-dua suspek yang direman itu berusia 29 dan 37 tahun.

Penahanan mereka menjadikan lima anggota TLDM ditahan setakat ini ekoran kematian Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailal Tuiman.

Sebelum ini, polis mengesahkan terdapat dua lagi anggota TLDM cedera dalam kejadian yang mengakibatkan dua anggota TLDM itu meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit (BTU) Sungai Wangi di Sitiawan pada Jumaat lepas.

Menurut Hasnan, buat masa ini dua anggota TLDM yang cedera itu ditempatkan di hospital dan polis sedang dalam proses untuk merakamkan percakapan mereka.

“Pihak perubatan mendapati kecederaan hampir sama pada mangsa yang kini mendapatkan rawatan di dalam wad biasa.

“Kita sedang membuat siasatan forensik terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang kita rampas.

“Pasukan daripada Bukit Aman juga bersama-sama sedang membantu dan menjalankan siasatan dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Mahkamah Majistret Manjung mengenakan tahanan reman selama tujuh hari terhadap tiga anggota TLDM bagi membantu siasatan kematian dua anggota TLDM di bilik tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan di sini, Jumaat lepas.

Hasnan memberi jaminan bahawa polis akan menjalankan siasatan dengan rapi dan teliti untuk mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku dan siapakah pelaku tersebut.