SUNGAI SIPUT: Dua lelaki dihukum penjara 14 hari dan denda RM5,000 atau penjara 10 bulan setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini selepas mengaku bersalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak COVID-19.

Tertuduh, Muhamad Saiful Izhar Roslan, 25, dan Chan Chee Heng, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Mereka dituduh cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya dan enggan menunjukkan pengenalan diri sewaktu diminta anggota polis bertugas penguatkuasaan PKP.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Saiful Izhar, pekerja kilang didakwa cuba melarikan diri dengan memecut laju motosikal ditunggangi daripada sekatan jalan raya berhampiran Kem Balak Jaya Setia, di sini jam 5.15 petang semalam sejurus diarahkan memberhentikan untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun motosikal ditunggangnya terbabas ke kawasan semak berhampiran, sebelum ditahan.

Sementara itu, pengusaha salon rambut, Chee Heng, didakwa memarahi dan dengan sengaja tidak mengendahkan arahan anggota polis yang menyuruhnya pulang ke rumah selain enggan menunjukkan pengenalan diri sewaktu diminta di hadapan dewan Persatuan Penduduk-penduduk Sungai Buloh, kira-kira jam 9.15 malam, malam tadi.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.