KUANTAN: Dua lelaki dipenjara lima tahun selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini kerana mengurung seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM19 juta, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Ang Boon Leong, 41, dari Kepong, Kuala Lumpur dan Lim Sin Chye, 46, dari Kemaman, Terengganu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan di depan Hakim Datuk Seri Mariana Yahya.

Mereka dituduh dengan niat menculik dan mengurung secara salah serta rahsia, Datuk Chin Yoke Choon, 53, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Tunas Manja pada jam 5.55 petang pada 26 Disember 2015, di kawasan letak kereta Hotel Sri Manja Boutique, B2-34 Jalan IM7/1, Bandar Indera Mahkota di sini.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 3(1) Akta Perculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Bagaimanapun, kedua tertuduh ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mariana juga berkata tertuduh bernasib baik kerana ditawarkan tuduhan pilihan berbanding Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang hukumannya gantung sampai mati.

Kes dikendalikan Pendakwa Raya, Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Muhamad Asyraf Md Kamal manakala tertuduh diwakili peguam S Parameswaran.

Sebelum ini, empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, di sini kerana terbabit dalam kes penculikan itu.

Low Sing Hwa, 29 dan Tham Hock Ann, 36 masing-masing berdepan dua tuduhan mengurung secara salah ahli perniagaan itu bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM19 juta dan menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan dan Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Choo Jia Lerk, 23 dan Liew Chee Hwa, 29, masing-masing berdepan pertuduhan bergaul dengan kumpulan jenayah terancang tanpa sebab dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130Y Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun jika sabit kesalahan.

Bagi kes itu, mahkamah sudah menetapkan 30 Mac ini bagi sebutan semula kes berkenaan – berita harian