IPOH – Dua lelaki warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen Perak selepas dipercayai cuba menyeludup 14 lelaki dan seorang wanita warganegara India melalui pintu masuk Pengkalan Hulu-Betong.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalluddin Ismail berkata, kesemua warganegara India yang ditangkap bersama dua warga tempatan tersebut ditahan dalam Ops Bersepadu bagi mengesan sindiket penyeludupan manusia bermula semalam hingga hari ini di Bukit Berapit Pengkalan Hulu, Gerik.

Menurutnya, operasi pertama yang dijalankan melibatkan enam pegawai Imigresen berjaya menahan dua lelaki tempatan tersebut yang dipercayai berperanan sebagai ejen pengangkut bersama seorang lelaki India.

“Lelaki warganegara India ini dipercayai dalam cubaan meloloskan diri di kaunter kawalan dengan membonceng motosikal bagi mengelak daripada dikesan pegawai Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamalluddin berkata, sindiket ini cuba menggunakan pintu masuk darat sempadan Malaysia-Thailand sebagai transit untuk keluar secara haram melalui Bukit Berapit, Pengkalan Hulu.

Menurut Kamalluddin, hasil siasatan yang dijalankan terhadap tiga lelaki yang ditahan, Jabatan Imigresen Perak kemudiannya bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) telah menyerbu tiga buah hotel sekitar Pengkalan Hulu.

“Hasilnya 13 lelaki dan seorang wanita warganegara India berusia 24 hingga 48 tahun berjaya ditahan kerana disyaki telah melakukan pelbagai kesalahan Imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Maklumat awal yang kami terima kesemua mereka ini dalam proses untuk menyeludup masuk ke Thailand sebagai transit sebelum di bawa ke negara Eropah,” katanya.

Tambahnya lagi, ketika pemeriksaan dilakukan terdapat warganegara India cuba mengaburi mata pihak Imigresen dengan mengemukakan identiti palsu namun kecekapakan anggota bertugas, ia dapat dikesan.

“Setiap daripada mereka dipercayai membayar RM5,000 seorang sebagai proses keluar dari negara ini kepada ejen untuk menguruskan perjalanan mereka.

“Semakan juga mendapati warganegara India yang ditangkap telah melakukan pelbagai kesalahan iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa di negara ini dan membuat atau memalsukan dokumen atau pengendorsan,” katanya.

Menurut Kamalluddin lagi, kesemua warganegara India ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Langkap.

“Manakala ejen pengangkut warganegara Malaysia pula disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26A ATIPSOM 2007 kerana cubaan menyeludup manusia ke Thailand,” katanya – sinar harian